SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Seorang penceramah bebas didenda RM2,800 di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada September tahun lepas.
Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin memerintahkan Faridul Firdaus Zaulkapli, 39, menjalani hukuman penjara 10 hari, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Faridul Firdaus didakwa melakukan kesalahan mengajar agama tanpa tauliah yang diberikan oleh MAIS antara 8.15 malam hingga 8.40 malam, 2 Sept 2024 di sebuah surau di Seksyen 19, di sini.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, yang boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Bapa kepada 10 orang anak itu turut dikenakan hukuman denda penalti RM1,500 oleh mahkamah, susulan tidak hadir pada prosiding pendakwaan atas kesalahan yang sama pada 21 Mei, sehingga waran tangkap dikeluarkan.
Faridul Firdaus ditahan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan satu penyiasatan aduan yang diterima pegawai penguat kuasa pada 15 Ogos 2024.
Pemerhatian kemudian dilakukan pihak berkuasa JAIS di surau berkenaan pada 2 Sept 2024 dan mendapati tertuduh memulakan kuliahnya selepas solat Maghrib yang dihadiri kira-kira 30 orang, sebelum ditahan kira-kira pukul 9.10 malam selepas selesai solat Isyak di luar surau itu.
Kes dikendalikan Pendakwa Raya Syarie Siti Nor Hashibah Jamhari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Faridul Firdaus memohon mahkamah mengenakan denda yang rendah serta tidak dipenjara kerana tidak mempunyai sumber pendapatan, selain perlu menanggung 10 orang anak berusia sembilan bulan hingga 14 tahun, tiga isteri dan kedua ibu bapanya.
“Sebenarnya saya mempunyai tauliah bermula 2014 dan tamat tempoh pada Jun 2024, namun begitu tauliah ditarik dan saya berusaha membuat rayuan sebanyak dua kali. Dalam tempoh tersebut saya berusaha mematuhi semua undang-undang ditetapkan,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, pihak pendakwaan dalam rayuan balasnya memohon mahkamah mengambil kira fakta tertuduh menyedari tauliahnya tamat pada Jun 2024, namun tetap menerima undangan untuk menyampaikan ceramah di surau berkenaan pada 15 Ogos 2024.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Siti Rahmah menasihatkan tertuduh supaya mematuhi undang-undang yang digubal bagi membendung sebarang penyelewengan.
“Nak ajar agama kena ada tauliah, undang-undang digubal untuk mencegah orang menyeleweng,” katanya.
Pada 6 Julai, Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin dilaporkan berkata MAIS telah menarik semula tauliah mengajar agama bagi seorang ustaz yang baru-baru ini ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes jenayah, sejak tahun 2022.
Salehuddin menerusi satu kenyataan berkata individu berkenaan juga pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September 2024 kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial