Kerani Syarikat Pelancongan Direman Disyaki Kemuka Butiran Matan Palsu

16/07/2025 06:27 PM

SEREMBAN, 16 Julai (Bernama) --  Seorang kerani sebuah syarikat pelancongan di ibu negara direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan butir matan palsu berkaitan tuntutan bayaran kad kredit syarikat sebanyak RM55,000 bagi tempahan hotel untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran terhadap wanita berusia 20 tahun itu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 9.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri dan siasatan awal mendapati dia disyaki melakukan perbuatan tersebut dari Mac 2023 hingga Februari 2024.

“Suspek dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi butiran palsu bagi tempahan hotel atas urusan rasmi syarikat untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan