Lelaki Warga Pakistan Maut Dihempap Pokok Tumbang, Tiga Cedera Di Kanowit

18/07/2025 09:27 AM

SIBU, 18 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas dihempap pokok tumbang  ketika menunggang motosikal dalam kejadian ribut di jalan utama Kampung Penat, Oya, kira-kira 170 kilometer dari sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Ishaq, 43, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada  9.04 malam.

“Pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak memotong dan membersihkan pokok sebelum mengalihkan mangsa ke tempat selamat, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap itu dalam kenyataan malam tadi.

Operasi tamat pada 10.05 malam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 12.8, Rumah Inyang, Sungai Ranan, Kanowit, tiga individu cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang, malam tadi.

Jurucakap sama berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.03 malam, dan anggota dari BBP Kanowit digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer.

“Sebaik tiba, terdapat dua mangsa, iaitu seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun masih terperangkap dalam kenderaan.

"Seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 14 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, dan dihantar ke Hospital Kanowit,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Operasi pemotongan dan pembersihan di lokasi tamat pada 10.22 malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan