Pengurus Kontrak Antara Empat Ditahan Bantu Siasatan Kes Rasuah Projek Pusat Data

18/07/2025 05:40 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan terkemuka antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta. 

Menurut sumber, pengurus kontrak bersama isterinya serta dua lelaki berjawatan pengarah syarikat berusia 40 hingga 60-an ditahan dalam Op Ways oleh Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang semalam.

Menerusi operasi itu, SPRM telah menyita wang tuani kira-kira RM7.5 juta yang dijumpai di rumah milik pengurus kontrak terbabit.

“Wang itu dipercayai rasuah dibayar kepada suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek berkenaan. 

“Siasatan awal mendapati suspek menetapkan bayaran rasuah sebanyak 2.5 peratus bagi setiap tender perolehan projek diperoleh dua syarikat berkenaan,” kata sumber.

Perintah reman selama tujuh hari hingga 24 Julai dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap pengurus kontrak itu manakala isterinya serta dua lagi suspek masing-masing direman hingga 20 dan 22 Julai, selepas membenarkan permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan