Bapa Tiga Anak Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Lelaki Guna Sabit

20/07/2025 12:44 PM

KOTA BHARU, 20 Julai (Bernama) -- Seorang bapa kepada tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan sabit di sebuah kedai kopi di sini, 5 Jun lepas.

Mohd Yusaini Mohd Yussof, 37, mengaku tidak bersalah mencederakan Kamaruddin Sha'ari, 40, setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Dia dituduh dengan sengaja mencederakan dahi dan bawah mata sebelah kanan Kamaruddin menggunakan sabit di sebuah kedai kopi di Simpang Empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini pada 7.45 petang, 5 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Naabil Mohamed Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Fiqri Muhamad.

Majistret Rais Imran menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan, iaitu tidak boleh mendekati, menghampiri dan mengacau ganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes pada 10 Ogos depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan