Pemandu E-Panggilan, Penumpang Maut Kemalangan Dengan Lori

20/07/2025 06:53 PM

JOHOR BAHRU, 20 Julai (Bernama) -- Seorang pemandu e-panggilan dan penumpang warga Singapura maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam menghala Skudai, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata kejadian berlaku pada 11.27 pagi apabila kereta Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun itu hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebelah kiri lori Mitsubishi Fuso.

“Pemandu disahkan maut di lokasi akibat cedera parah di kepala manakala penumpang lelaki berusia 27 tahun meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pemandu lori warga tempatan berusia 28 tahun tidak cedera.

Kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Zulhisyam Aziz menerusi 019-7432966.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan