MCMC Siasat Individu Disyaki Muat Naik Komen Jelik Berhubung Institusi Diraja

21/07/2025 08:44 PM

PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat seorang individu yang disyaki memuat naik komen jelik melampau melalui platform Facebook yang menyentuh institusi diraja berkaitan isu pelantikan Ketua Hakim Negara.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan percakapan individu itu telah dirakam di Balai Polis Kampung Melayu Subang, Selangor dan satu unit telefon bimbit beserta kad SIM turut disita bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.

"Elakkan penyebaran kandungan jelik melampau, hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman negara khususnya yang melibatkan institusi diraja," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan