Kastam Gagalkan Cubaan Seludup 34 Kg Ganja Di Bukit Kayu Hitam

23/07/2025 11:05 AM

ALOR SETAR, 23 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah mematahkan cubaan menyeludup masuk kira-kira 34 kilogram (kg) ganja dalam dua operasi berasingan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bulan lepas.

Pengarah Kastam Kedah Wan Marini Wan Hamzah berkata dalam operasi pertama pada 26 Jun, pihaknya merampas dadah jenis ganja seberat 18.75 kg dianggarkan bernilai lebih RM57,000 selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki pada 10.10 malam.

“Dadah itu dijumpai dalam dua kotak yang disorok di bahagian belakang tempat duduk pemandu. Sehubungan itu, pemandu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata modus operandi digunakan ialah menyeludup masuk dadah bersama muatan dagangan sayur-sayuran pada lewat malam dengan andaian tiada pemeriksaan dijalankan oleh pihak kastam dan akan mendapat pelepasan terus di pintu masuk sempadan negara.

Beliau berkata dalam operasi seterusnya dua hari kemudian, pihaknya merampas bunga ganja dan ganja selepas menahan dua lelaki yang menaiki bas ekspres dari negara jiran melalui laluan bas ICQS pada 4.50 petang.

“Hasil imbasan terhadap bagasi kedua beradik itu menemukan 15 bungkusan kecil pelbagai saiz ketulan mampat dadah jenis bunga ganja seberat 875.3 gram dan ganja seberat lebih 14.59 kg bernilai lebih RM45,200,” katanya.

Wan Marini berkata kedua-duanya kini disiasat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan