KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Jenayah keldai akaun menunjukkan trend membimbangkan dengan ribuan rakyat Malaysia termasuk pelajar menjadi alat sindiket jenayah kewangan yang menjanjikan keuntungan mudah, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa.
Beliau berkata setakat 21 Julai, sebanyak 39,006 kes keldai akaun dikesan dengan 10,635 daripadanya telah didakwa di mahkamah manakala pada 2024, jumlah keseluruhan kes mencecah 51,197, melibatkan lebih 33,000 akaun yang dibawa ke muka pengadilan.
“Ini bukan sekadar isu kewangan, ia telah menjadi satu bentuk jenayah terancang yang digunakan sindiket untuk menjalankan pelbagai kegiatan haram termasuk penipuan dalam talian, pelaburan palsu dan penipuan e-dagang,” katanya pada sidang media berkaitan isu semasa JSJK di sini hari ini.
Rusdi berkata individu terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 424A, 424B dan 424C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM150,000, bergantung kepada tahap penglibatan dan kesalahan.
Beliau berkata antara bentuk penglibatan termasuk menyerahkan butiran akaun bank kepada pihak ketiga tanpa sebab munasabah, membuka akaun bagi pihak lain dan menggunakan akaun untuk melakukan transaksi mencurigakan.
Rusdi berkata beliau mengesyorkan penggunaan formula ‘T.A.K.E.F.I.V.E’ sebagai panduan pencegahan bagi membantu orang ramai mengelakkan diri daripada terperangkap dalam sindiket penipuan kewangan dan jenayah keldai akaun.
Beliau berkata langkah pertama adalah Think (Fikir), iaitu individu perlu berfikir secara kritikal sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pelaburan dan mengelakkan tindakan terburu-buru, diikuti Ask (Tanya) - sentiasa bertanya soalan dan meminta dokumen sah sebelum memberikan maklumat perbankan atau melabur serta membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan.
Rusdi berkata Knowledge (Ilmu) juga memainkan peranan penting dalam pencegahan dengan masyarakat perlu cakna terhadap modus operandi terkini yang digunakan penjenayah siber dan melakukan e-Check (semakan dalam talian) menggunakan portal seperti Semak Mule PDRM, Investment Checker oleh Suruhanjaya Sekuriti serta Senarai Amaran Pengguna oleh Bank Negara Malaysia.
“Langkah kelima ialah Fight (Lawan), iaitu menolak perasaan mudah percaya serta tidak terperdaya dengan janji pulangan besar atau keuntungan pantas, selain amalkan prinsip Ignore (Abaikan), dengan orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayan tawaran mencurigakan, terutama di media sosial,” katanya.
Selain itu, Rusdi berkata langkah Vigilant (Berjaga-jaga) adalah penting bagi memastikan orang ramai tidak terjerat dengan perangkap penipu dan End (Tamatkan) perhubungan atau berhenti berkomunikasi dengan individu mencurigakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial