Lelaki Tempatan Ditahan Cuba Seludup Keluar Haiwan Eksotik Di KLIA Terminal 1

27/07/2025 07:42 PM

SEPANG, 27 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditahan malam tadi selepas disyaki cuba seludup keluar enam ekor haiwan eksotik dianggarkan bernilai RM73,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Lelaki berusia 38 tahun yang dalam perjalanan ke India itu ditahan pada 10 malam dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bersama Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).

"Bertindak atas maklumat diterima, dua anggota AKPS KLIA bersama tiga anggota AVSEC telah menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap bagasi penumpang, selepas pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan menyerupai hidupan liar di dalam bagasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemukan enam ekor haiwan, iaitu masing-masing dua ekor disyaki Lotong Kelabu, Siamang dan Armadillo," menurut kenyataan itu. 

Menurut AKPS, kesemua haiwan berkenaan dipercayai termasuk dalam kategori spesies terancam dan dilindungi di bawah perundangan negara dan antarabangsa.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]. 

"Kesemua haiwan yang dirampas telah dibawa ke Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan susulan,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan