Lima Suspek ‘Op Vulture’ Ditahan Kerana Ugutan, Simbah Cat Merah

28/07/2025 12:24 AM

KOTA BHARU, 27 Julai (Bernama) -- Polis menahan lima individu disyaki terbabit dalam aktiviti pinjaman wang tanpa lesen yang turut melibatkan perbuatan ugutan dan khianat, termasuk menyimbah cat merah pada kediaman peminjam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kesemua suspek berusia antara 25 hingga 39 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu menerusi Op Vulture.

Beliau berkata suspek pertama diberkas pada 23 Julai di Pasir Tumboh, Kubang Kerian manakala empat lagi suspek ditahan pada 25 Julai susulan kejadian simbah cat di Pasir Hor.

"Polis turut merampas 34 barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk cat merah, kertas nota ugutan, pakaian, pelitup muka, telefon bimbit serta motosikal.

“Hasil siasatan awal mendapati kelima-lima suspek disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya sembilan kes khianat harta benda di sekitar Kota Bharu, Tumpat dan Tanah Merah. Tindakan mereka termasuk memecahkan cermin tingkap menggunakan batu, menampal nota ugutan dan mengunci pagar rumah peminjam sebagai bentuk tekanan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Yusoff berkata kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan iklan pinjaman wang di media sosial atau aplikasi tidak sah serta membuat semakan melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang urusan kewangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan