KUANTAN, 28 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian mengganggu seekor penyu yang sedang bertelur di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Cherating.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata suspek berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari tadi di sekitar Cherating dan sedang mengesan dua lagi rakan suspek.
“Suspek juga didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar 7 pagi semalam dan dirakam oleh beberapa pelancong, memaparkan tiga lelaki mengangkat seekor penyu dan membawanya ke lokasi lubang bertelur yang telah digali.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian bagi mempercepatkan proses penyu bertelur dengan tujuan mengambil telur penyu untuk dijual atau digunakan secara haram.
“Setelah perbuatan mereka disedari dan ditegur oleh beberapa pengunjung, suspek bertindak melepaskan semula penyu tersebut ke laut,” katanya.
Mohd Adli berkata kes tersebut akan disiasat pihak Jabatan Perikanan Malaysia mengikut Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 bagi kesalahan menangkap, mengganggu atau mengambil penyu tanpa kebenaran dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri Pahang yang melarang pemilikan telur penyu tanpa permit sah.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh mengancam kelangsungan hidup haiwan marin itu dan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika melihat sebarang aktiviti mencurigakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial