KUANTAN, 29 Julai (Bernama) -- Tiga lelaki disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sanggup terjun ke sungai untuk melarikan diri sebelum berjaya ditahan menerusi Ops Guardian di Sungai Belat di sini hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Kepten Maritim Mohd Marmizi Md Nor berkata kejadian berlaku kira-kira 10 pagi ketika pihaknya menjalankan operasi bersama agensi keselamatan dan penguat kuasa lain.
Beliau berkata dua daripada lelaki terbabit kemudian dilihat cuba menyorok di bawah jeti manakala seorang lagi berenang untuk mengelak daripada ditangkap.
“Selain memeriksa bot nelayan di Sungai Kuantan, kita turut menyerbu lokasi ‘panas’ yang disasarkan iaitu di jeti.
"Hasil serbuan, kita berjaya menahan tiga lelaki berusia 40 hingga 50 tahun itu yang cuba melarikan diri kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Marmizi berkata ketiga-tiga mereka diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata Ops Guardian kali pertama itu diadakan dua hari bermula hari ini dengan kerjasama tujuh agensi melibatkan 44 pegawai dan anggota.
Agensi terlibat ialah AADK, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, manakala operasi ditumpukan di sekitar muara Sungai Kuantan dan Pelabuhan Kuantan untuk memeriksa sebarang perlanggaran undang-undang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial