IPOH, 30 Julai (Bernama) -- Seorang bekas pengurus didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mempromosikan satu program merekrut pelajar untuk kemasukan di sebuah universiti swasta, enam tahun lepas.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi turut memerintahkan Mohd Khalid Ka’ab, 42 , menjalani hukuman penjara empat bulan, jika gagal membayar denda.
Mohd Khalid yang ketika itu merupakan pengurus di Jabatan Bahagian Kemasukan Pelajar, Pemasaran dan Rekod di universiti berkenaan, didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen sebagai tulen, iaitu dokumen perjanjian “Student Recruitment Agreement” antara dua syarikat, yang bertarikh 1 Ogos 2019.
Dokumen itu dikemukakan sebagai syarikat ejen untuk memberikan perkhidmatan mempromosikan program UTP dan merekrut pelajar dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan lokasi lain untuk program kemasukan pelajar ke universiti berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat pendaftar universiti berkenaan di Seri Iskandar dalam daerah Perak Tengah pada Jun 2019
Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman pemenjaraan maksimum dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, dia didakwa mengemukakan enam invois antara tahun 2019 hingga 2020 atas nama syarikat Profedge Sdn Bhd dengan jumlah keseluruhan tuntutan sebanyak RM323,650 kononnya untuk perkhidmatan promosi dan pengambilan pelajar ke universiti berkenaan.
Hasil semakan dalaman universiti berkenaan, mendapati dokumen itu tidak pernah dirujuk kepada bahagian undang-undang, tidak mempunyai cop rasmi institusi dan tidak dimatikan setem.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrul Azuan Ghazali dan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam Mohd Izwan Abd Rahman memohon hukuman diringankan kerana tertuduh telah menjimatkan masa prosiding mahkamah dengan mengaku salah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial