PUTRAJAYA, 4 Ogos (Bernama) -- Bersatu gagal dalam rayuannya untuk memperoleh kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul tidak mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli parti itu semasa pilihan raya umum lepas.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, yang bersidang bersama-sama Datuk Azizul Adnan dan Dr Shahnaz Sulaiman, hari ini sebulat suara menolak rayuan itu.
Ruzima berkata mahkamah mendapati surat Johari bertarikh 16 Jan 2023, yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi, dibuat selaras dengan fungsi beliau dalam mengatur urusan dalaman Dewan Rakyat.
“Berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Teng Chang Khim melawan Badrul Hisham Abdullah dan satu lagi, kami berpandangan bahawa tindakan Speaker berkenaan adalah kebal daripada cabaran menurut Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam kes Teng Chang Khim, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keputusan Speaker berkenaan dalam menentukan sama ada terdapat kekosongan atau sebaliknya adalah urusan dalaman badan perundangan dan tidak boleh disemak oleh mahkamah.
Ruzima juga berkata Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menolak permohonan Bersatu.
“Kami mendapati bahawa tiada merit dalam rayuan ini. Oleh itu, kami menolak rayuan ini tanpa kos,” katanya.
Semakan kehakiman itu difailkan pada 2023 oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya, yang juga pegawai awam parti itu.
Mereka menamakan lima responden iaitu Johari serta empat Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Bersatu memohon untuk membatalkan keputusan Johari menerusi surat bertarikh 16 Jan 2023 yang memaklumkan bahawa responden kedua hingga kelima telah menjelaskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen di kawasan terbabit berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bersatu.
Bersatu turut memohon deklarasi bahawa keempat-empat Ahli Parlimen telah terhenti daripada menjadi Ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan selain perintah agar Johari mengesahkan bahawa kerusi terbabit adalah kosong.
Pada November 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Bersatu untuk kebenaran merayu yang menyebabkan parti itu membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Rayuan.
Pada prosiding hari ini, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Bersatu berhujah bahawa tugas Speaker dalam menentukan kekosongan kerusi tidak dilindungi oleh kekebalan di bawah Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, hujah itu dibantah oleh Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara dan peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin, mewakili responden kedua hingga kelima.
Mereka berhujah bahawa keputusan Johari adalah kebal daripada semakan mahkamah kerana keputusan beliau membabitkan urusan Dewan Rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial