KUANTAN, 4 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang mempunyai 44 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, Temerloh selepas bergelut dengan polis pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata lelaki berumur 35 tahun itu telah bertindak melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu semasa pegawai polis memperkenalkan diri di hadapan sebuah kedai di Jalan Tengku Ismail kira-kira 10.30 pagi.
“Lelaki terbabit telah memandu secara melulu serta melanggar tebing jalan dan terbabas sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
“Berlaku pergelutan antara polis dengan suspek sebelum lelaki positif dadah itu akhirnya berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mazlan berkata polis turut merampas pelbagai peralatan curi kabel antaranya tukul besi dan pengunci besi pembuka manhole, selain sejumlah pil yaba.
Hasil pemeriksaan lanjut juga, katanya suspek mengaku terlibat dalam kes curi kabel komunikasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang pada Februari lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial