Program 'Biggest Losses' Bantu Atasi Obesiti Anggota Polis Besut

05/08/2025 08:31 PM

JERTIH, 5 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 28 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut berjaya menurunkan berat badan sehingga 25 kilogram dalam tempoh dua bulan bermula awal Jun hingga Julai lepas. 

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata anggota daripada pelbagai bahagian itu berjaya mengurangkan berat badan melalui program penurunan Indeks Jisim Badan (BMI) ‘Biggest Losses’ yang dilaksanakan buat julung kalinya oleh IPD Besut. 

“Penurunan berat badan secara sihat itu dilaksanakan hasil pelbagai aktiviti fizikal seperti mendaki Bukit Keluang di sini, berjalan kaki di tepi pantai, senaman dan latihan kecergasan ala ketenteraan serta penjagaan pemakanan. 

“BMI ideal bukan sahaja keperluan untuk peningkatan kualiti kerja tetapi mencerminkan imej profesionalisme anggota ketika melaksanakan tugas mencabar dengan lebih berkesan melalui tahap kesiapsiagaan fizikal selain menambah keyakinan masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penutup Program ‘Biggest Losses’ di Dewan Perumahan Polis Gelam Mas di sini. 

Azamuddin berkata program dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Besut itu menunjukkan kejayaan positif kerana walaupun latihan dan senaman diadakan hanya tiga kali seminggu selama dua bulan tetapi kesannya amat memberangsangkan. 

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan