Kanak-kanak Jatuh Dalam Lubang Pembetung, Polis Buka Dua Kertas Siasatan

06/08/2025 10:17 AM

SIBU, 6 Ogos (Bernama) -- Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh ke dalam sistem pembetungan berhampiran Jalan Wong Soon Kai di sini, pada petang Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak dalam keadaan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

“Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Kertas siasatan juga dibuka dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis menerima laporan kejadian pada 11.09 malam, Isnin daripada seorang pegawai perubatan Hospital Sibu yang memaklumkan mengenai kematian seorang kanak-kanak tempatan.

“Mangsa ditemukan pasukan bomba di dalam sistem pembetungan berhampiran lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

“Ketika tiba di hospital, mangsa berada dalam keadaan basah, pucat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hayat, sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital itu,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.29 petang, dan sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat dimaklumkan oleh bapa mangsa anaknya telah hilang dan dipercayai terjatuh ke dalam lubang pembetung.

Mangsa dikatakan sering menemani bapanya mengutip kotak terpakai di kawasan komersial itu.

Semasa kejadian, mangsa dipercayai keluar dari kereta untuk mencari bapanya sebelum terjatuh ke dalam lubang pembetung yang tidak bertutup.

Zulkipli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mohd Adzmei Ahmad melalui talian 019-7192 529 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan