SEREMBAN, 7 Ogos (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Negeri Sembilan melupuskan secara bersepadu barangan kes dadah bagi tempoh 2001 hingga Julai tahun ini berjumlah RM6.725 juta.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata antara jenis dadah yang dilupuskan ialah pil ekstasi seberat 21,075 gram (g) bernilai RM3.5 juta; 89,921g syabu (RM2.91 juta); 1,277.34g ketamin (RM105,468); 5,428.9g heroin (RM58,722); dan 33.46g cecair vape(RM33,470).
"Ia melibatkan rampasan dadah yang selesai perbicaraan dan masih tersimpan di stor barang kes narkotik di daerah di negeri ini membabitkan 2,076 kertas siasatan bagi tempoh 2001 hingga tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini JSJN negeri telah membuat tangkapan seramai 4,713 individu dengan pelbagai kesalahan dadah berbahaya.
Ahmad Dzaffir berkata daripada jumlah itu seramai 2,734 adalah penagih dadah, 1,313 (pemilikan dadah) dan 664 pengedar dadah.
"Hasil daripada tangkapan pengedaran dadah itu jumlah anggaran sitaan yang melibatkan aset pengedar dadah adalah RM6.534 juta," katanya.
Beliau berkata pihaknya serius membanteras dadah dan tumpuan adalah untuk melumpuhkan ekonomi pengedaran dadah dengan menyita aset yang dimiliki melalui aktiviti menyalahi undang-undang.
Ahmad Dzaffir berkata PDRM memohon kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat dalam usaha menghapuskan dadah di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial