Lori Terbabas, Km256.7 PLUS Sesak Sepanjang 7km

08/08/2025 03:31 PM

IPOH, 8 Ogos (Bernama) -- Kemalangan melibatkan sebuah lori kontena di Kilometer (KM) 256.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara antara laluan Terowong Menora ke Kuala Kangsar telah menyebabkan kesesakan trafik sepanjang tujuh kilometer.

Plustrafik menerusi aplikasi X setakat 2.16 petang memaklumkan semua lorong masih terhalang dengan laluan kontra telah diaktifkan bermula KM257.3 hingga KM 256.2.

"Trafik menghala ke utara masih dilencongkan keluar di Plaza Tol Ipoh (S), pusingan-u di Terowong Menora telah diaktifkan. Trafik sesak di kedua-dua arah," menurut kenyataan itu.

Plustrafik mula melaporkan insiden kemalangan tersebut pada 12.12 tengah hari dengan memaklumkan semua lorong terhalang dan trafik tidak bergerak.

Justeru Plustrafik menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan masing-masing serta menggunakan laluan alternatif keluar di Plaza Tol Ipoh (S).

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berkaitan kemalangan melibatkan sebuah lori treler muatan sabun pencuci terbabas dan merintangi jalan itu pada 12.06 tengah hari.

Beliau berkata terdapat seorang mangsa lelaki berusia 39 tahun cedera parah dan telah dikeluarkan oleh orang awam dari lori tersebut.

"Komander operasi melaksanakan 'size-up' seterusnya mengaplikasikn konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap). Setelah kerja-kerja mengalihkan treler dilakukan pihak PLUS, ketua operasi mengarahkan anggota melakukan pembersihan sisa kemalangan di jalan. 

"Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) yang tiba di lokasi sejurus selepas dihubungi," katanya.

Beliau berkata operasi terkawal pada 1 tengah hari dan tamat sepenuhnya pada 1.44 tengah hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan