IPOH, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 1,220 liter minyak diesel bersubsidi dan pelbagai aset bernilai RM132,446.80 dalam serbuan di sebuah bengkel di Kampung Kepayang di sini, semalam.
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 6.10 petang itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kerana gagal mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan tersebut.
“Modus operandi sindiket ialah mendapatkan minyak diesel pada harga RM1.80 seliter daripada pemandu lori yang mencuri bekalan milik syarikat, sebelum menjualnya kepada pihak industri di pasaran gelap pada harga RM2.40 seliter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kamalludin berkata pihaknya turut merampas dua lori, tangki intermediate bulk container (IBC) dan pam dari bengkel itu.
Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada KPDN.
Kamalludin menegaskan KPDN tidak berkompromi terhadap individu yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan akan terus mengambil tindakan tegas untuk mencegah ketirisan subsidi kerajaan.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi melalui WhatsApp 019-8488000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial