Oleh Nur Elysa Amirah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dengan pelbagai taktik licik yang digunakan penipu atau scammer ketika ini untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Penganalisis jenayah Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim menasihati orang ramai supaya sentiasa membuat semakan dengan pihak berwajib bagi tujuan pengesahan sekiranya ragu dengan individu yang menyamar sebagai individu berprofil tinggi, pihak berkuasa atau wakil daripada agensi tertentu untuk memperdayakan mangsa.
“Mereka (scammer) tidak peduli (mangsa itu) tua atau muda tetapi mereka fokus kepada keadaan dan data (mangsa) yang diperoleh. Jadi melalui maklumat tersebut, mereka mampu menyesuaikan percakapan mengikut situasi, sebab itu golongan berpendidikan pun boleh terperangkap.
“Jangan terus percaya atau panik jika menerima panggilan atau iklan seperti pekerjaan di pelbagai platform. Dunia maya bukannya sentiasa selamat, jadi semak dahulu sebelum bertindak,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Izzat Mohd Johari pula berkata sesetengah mangsa yang terjerat dengan penipuan mengalami tekanan berpanjangan, yang bukan sahaja menjejaskan kestabilan kewangan dan hubungan sosial, malah boleh membawa kepada masalah kesihatan fizikal akibat stres kronik.
Sehubungan itu, menerusi inisiatif Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), beliau berkata ia berupaya meningkatkan kesedaran dan literasi digital dalam kalangan pelajar, sekali gus memperluas pengetahuan yang dapat membantu keluarga mereka mengenal pasti dan mengelakkan risiko jenayah siber.
Beliau berkata ini kerana kesedaran masyarakat terhadap penipuan atau scam masih belum mencapai tahap memuaskan walaupun statistik saban tahun menunjukkan taktik jenayah berkenaan semakin canggih.
“Kempen kesedaran seperti ini sangat penting untuk memastikan isu keselamatan digital kekal dalam perhatian masyarakat kerana taktik scammer sentiasa berevolusi, jadi kesedaran masyarakat juga perlu dikemas kini secara berkala.
“Sentiasa kemas kini ilmu, jangan segan bertanya dan laporkan apa sahaja yang mencurigakan kerana keselamatan digital bukan tanggungjawab individu semata-mata, tetapi amanah bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye yang turut menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Kempen Internet Selamat berkata pendidikan berterusan kepada semua peringkat masyarakat adalah penting bagi membantu mereka mengelakkan diri daripada terjerat dengan jenayah tersebut.
“Penganjuran kempen seperti ini harus dimanfaatkan sebaiknya supaya masyarakat di luar sana lebih berwaspada dan tahu membezakan yang baik dan yang tidak.
“Pihak berkuasa juga boleh tampil ke hadapan untuk menyebarkan lebih banyak maklumat kepada orang ramai mengenai modus operandi sindiket ini supaya orang ramai tidak mudah menjadi mangsa,” katanya.
Beliau turut menasihati masyarakat agar tidak terlalu ghairah mengejar kesenangan melalui jalan mudah sehingga akhirnya terperangkap menjadi mangsa penipuan.
Kempen Internet Selamat yang dilancarkan pada 21 Jan lepas menumpukan kepada keselamatan dalam talian termasuk had umur pengguna media sosial, buli siber dan pencegahan akses kepada kandungan tidak sesuai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial