KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 258 kenderaan mewah pelbagai jenama yang dikesan ingkar peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan menerusi tiga siri Op Luxury dilaksanakan di seluruh negara sejak Jun lepas.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata dalam siri terbaharu Op Luxury 3.0 yang dijalankan dari 7 Ogos hingga semalam, sebanyak 104 kenderaan mewah seperti Ferrari, Range Rover, Porsche dan Ford Mustang dipandu warga tempatan dan warga asing ditahan.
Beliau berkata kesemua kenderaan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu kompeten (CDL) selain cukai jalan dan perlindungan insurans telah tamat untuk tempoh yang lama, sekali gus menjadikan jumlah saman dikeluarkan sebanyak 627 notis.
“Bagi operasi kali ini, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah sitaan tertinggi iaitu 93 kenderaan, diikuti Selangor (61), Pulau Pinang (28), Sarawak (16) dan Kelantan (15).
“Semua kenderaan ini disimpan di depoh JPJ untuk siasatan lanjut dan disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang media di Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Kuala Lumpur awal pagi ini.
Turut hadir Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam dan Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan.
Muhammad Kifli berkata JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya dan kenderaan yang ditahan hanya akan dikembalikan kepada pemilik setelah mereka memperbaharui Lesen Kenderaan Motor serta insurans.
Beliau berkata pelaksanaan berkala Op Luxury akan terus diperkukuh sebagai usaha strategik JPJ menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kemampanan sektor pengangkutan negara dan mana-mana pihak yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya akan dikenakan tindakan tegas.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang boleh membuat aduan melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my dengan butiran lengkap,” katanya.
Mengulas mengenai pindaan undang-undang oleh JPJ bagi tujuan penguatkuasaan yang lebih ketat, Muhammad Kifli berkata pihaknya akan menyerahkan laporan penuh kepada Kementerian Pengangkutan esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial