Polis Terengganu Rampas Syabu RM6.3 Juta, Dua Suspek Diburu

12/08/2025 02:57 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos (Bernama) -- Polis berjaya merampas 198.9 kilogram (kg) syabu bernilai RM6.3 juta yang ditinggalkan dalam dua buah kenderaan di Felda Belara di sini 28 Julai lepas, selepas pemandunya melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata rampasan itu hasil Op Sekatan Jalan Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di Sungai Ikan, laluan Kota Bharu-Kuala Terengganu pada kira-kira 5 petang.

Beliau berkata ketika operasi, pihak polis mendapati pemandu dua buah kereta, Mercedes-Benz dan Perodua Myvi telah membuat pusingan U secara mengejut sebelum melarikan diri ke arah Kota Bharu.

"Selepas mengejar dalam jarak lima kilometer, polis berjaya menemukan kereta berkenaan di hadapan rumah penduduk kampung di Felda Belara. 

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kotak polistirena yang mengandungi 188 bungkusan berisi dadah yang cukup untuk kegunaan 995,550 penagih," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari Kelantan untuk diedarkan ke pasaran luar Terengganu termasuk di Lembah Klang.

Beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti pemilik kereta Perodua Myvi, namun masih mengesan dua suspek iaitu pemandu yang dipercayai warga tempatan.

"Polis belum dapat mengenal pasti pemilik kereta Mercedes-Benz kerana casis telah dirosakkan. 

"Kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Terengganu di talian 011-67351234," katanya.

Mohd Khairi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan