PETALING JAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur merampas lebih 2.4 juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dianggarkan bernilai dan bercukai lebih RM2 juta dalam satu serbuan di Klang, pada 9 Julai lepas.
Pengarahnya Wan Norizan Wan Daud berkata serbuan kira-kira 3 pagi itu dijalankan pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur hasil maklumat awam yang diperoleh tiga jam sebelum serbuan.
“Hasil risikan yang dilakukan sejak 12 tengah malam, pasukan kami menyerbu kawasan parkir kontena di Jalan Telekom, Kampung Johan Setia, Klang dan menemui sejumlah dagangan disyaki rokok putih dan kretek import yang merupakan barang larangan,” katanya pada sidang media berhubung serbuan berkenaan di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini hari ini.
Wan Norizan berkata pemeriksaan mendapati rokok berkenaan disimpan dalam sebuah kontena bersaiz 12.1 meter yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan kekal sebelum diedarkan dan diagihkan kepada pembekal tempatan dengan harga pasaran sekitar RM7 sekotak.
Beliau tidak menolak kemungkinan rokok berkenaan diseludup masuk melalui jalan laut namun tiada tangkapan dibuat dalam serbuan tersebut dan siasatan masih dijalankan.
Wan Norizan berkata pengimportan dagangan itu memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras dengan Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tak berkastam atau larangan import,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan setakat Jun tahun ini, JKDM WPKL telah merekodkan 160 kes berkaitan rokok dengan nilai rampasan dianggarkan RM35 juta.
Beliau turut meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial