PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Bekas Ketua Bahagian Sivil di Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Donald Joseph Franklin adalah antara 23 individu yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman hari ini.
Turut dilantik J.Kuldeep Kumar, peguam yang sebelum ini membela bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri iaitu seorang daripada dua individu yang disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Kuldeep, 55, juga terlibat dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan Azilah untuk menggantikan hukuman matinya kepada penjara selama 40 tahun.
Donald, 59, pula pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan dan Timbalan Ketua Bahagian I di Bahagian Sivil AGC.
Individu lain termasuk Datin Asmah Musa iaitu Ketua Unit Perbicaraan di Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC; bekas Presiden Majlis Peguam (2019 dan 2020) Datuk Abdul Fareed Gafoor serta Timbalan Ketua Bahagian II di Bahagian Pendakwaan AGC Syed Faisal Syed Amir.
Sejumlah 13 peguam termasuk Kuldeep dan Abdul Fareed dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman.
Mereka ialah Isa Aziz Ibrahim, Dr Seow Hock Peng, Shahriza Zalina Abdul Shukor, Helmi Hamzah, Rajes Raghavji, Datuk Mohd Aimi Zaini Mohd Azhar, Samry Masri, Moh Kok Wai, Shamsul Bahrin Abdul Manaf, Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah dan Avinder Singh Gill.
Individu lain ialah bekas Ketua Lembaga Penasihat di Jabatan Perdana Menteri Datuk Khamsiah@Anita Harun, D. Shoba Rajah, S. Kalyana Kumar, Darmafikri Abu Adam, Manira Mohd Nor, Datuk Edwin Paramjothy dan Dr Noradura Hamzah.
Surat pelantikan disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada majlis yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Kesemua pesuruhjaya kehakiman mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial