Siasatan Kes pegawai Tentera Terlibat Sindiket penyeludupan, SPRM Dapatkan Maklumat MINDEF

14/08/2025 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi melengkapkan siasatan terhadap tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera yang dipercayai terlibat sindiket penyeludupan. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata maklumat termasuk laporan yang dikategorikan sulit itu dijangka membantu siasatan berhubung kegiatan yang dipercayai berlaku kebanyakannya di perairan Selat Melaka di Melaka dan Johor.

“Saya berterima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah memberikan sokongan kepada SPRM dan memudahkan SPRM menjalankan penyiasatan. 

"Sudah tentu kita akan pergi kepada Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, termasuk beberapa laporan sulit,” katanya kepada pemberita ketika Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata tiga pegawai kanan dan dua bekas pegawai tentera terbabit adalah daripada Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia ditahan menerusi Op Sohor kerana disyaki menjadi ‘enabler’ kepada aktiviti penyeludupan itu.

Semalam, media melaporkan 10 individu termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun, serta seorang warga Indonesia ditahan di sekitar Lembah Klang melalui Op Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) bermula 6.30 pagi.

Kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan