KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan dakwaan kononnya wujud ketegangan antara pasukan itu dengan Tentera Laut Filipina, seperti tular menerusi media sosial.
TLDM menegaskan tiada insiden seperti digambarkan berlaku dan menyifatkan kandungan video tular melalui platform YouTube berkenaan bertujuan mencemarkan hubungan diplomatik pertahanan yang telah lama terjalin antara dua negara.
“Penyebaran maklumat palsu ini berpotensi mencetuskan kontroversi, merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan TLDM, khususnya dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
“Sebaran maklumat palsu seperti ini boleh menggugat keamanan dan kestabilan di rantau ini serta dilihat menyumbang kepada agenda politik atau strategik tertentu,” menurut TLDM dalam satu kenyataan.
TLDM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara dan masyarakat awam diminta untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan demi menjamin keamanan sejagat.
Video berdurasi 12 minit 51 saat itu memaparkan visual beberapa kapal perang berada di lautan dan mendakwa kapal milik TLDM dan Tentera Laut Filipina seolah-olah berada dalam ketegangan berhampiran perairan Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial