JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan dan menyita empat kenderaan e-hailing berdaftar di Singapura yang dipandu warga republik itu kerana membawa penumpang tanpa permit sah menerusi Op Khas E-Hailing Kenderaan Asing di sekitar bandar raya ini sejak 9 Ogos lepas.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kenderaan terbabit, iaitu Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Toyota Hiace dan Honda Spada, masing-masing dipandu lelaki republik itu, dikesan membawa penumpang warga Singapura dan negara lain memasuki Malaysia melalui laluan Singapura untuk tujuan pelancongan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit tidak mempunyai lesen pengendali yang sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan tidak memiliki cukai jalan Malaysia,” katanya pada sidang media di JPJ Taman Daya di sini malam tadi.
Beliau berkata kesemua kenderaan itu ditahan dan disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dan disiasat mengikut Seksyen 16(1) akta sama kerana mengendalikan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali yang sah.
“Tiada lagi kompromi kepada mana-mana kenderaan e-hailing haram yang beroperasi di Malaysia. Kita akan bawa tindakan ini ke mahkamah untuk proses lucut hak kenderaan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan.
Aedy Fadly berkata siasatan awal mendapati pemandu terbabit mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial, aplikasi WhatsApp dan Telegram selain pelekat pada kenderaan, dengan caj perjalanan jauh lebih tinggi berbanding kadar dibenarkan.
Beliau memberi contoh caj perjalanan Singapura–Johor Bahru mencecah SGD180 (RM591) seorang bagi satu perjalanan, manakala perjalanan ke Ipoh direkodkan hingga SGD1,200 (RM3,946) bagi satu perjalanan.
“Operasi ini dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras pihak tidak bertanggungjawab daripada terus mengambil kesempatan, selain memastikan keselamatan penumpang dan integriti sistem pengangkutan negara terpelihara,” katanya sambil menambah bahawa operasi sama akan diperluas ke negeri lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini digesa menyalurkannya melalui aplikasi MyJPJ e-Aduan atau e-mel kepada aduantrafik@jpj.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial