Op Tapis Khas: 546 Individu Ditahan, Pelbagai Dadah Bernilai Lebih RM280,000 Dirampas

15/08/2025 01:13 PM

IPOH, 15 Ogos (Bernama) -- Polis menahan 546 individu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah selain merampas pelbagai jenis dadah dan barangan dianggarkan bernilai RM284,347.30 menerusi Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang diadakan serentak di seluruh negeri selama tiga hari berakhir Rabu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata tangkapan itu terdiri daripada 536 lelaki dan 10 wanita berusia antara 19 tahun hingga 65 tahun, termasuk 22 warga asing membabitkan empat warga Indonesia, Thailand (dua), Myanmar (lima), Ukraine (seorang) dan Kemboja (10).

“Daripada keseluruhan tangkapan, 72 individu ditahan atas kesalahan mengedar dadah, 153 memiliki dadah, 317 disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala empat ditahan mengikut Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Pada masa sama, daripada jumlah keseluruhan tangkapan itu, 16 penagih tegar dikenal pasti akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952, manakala lapan individu yang dikehendaki turut diberkas dalam operasi berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisam berkata rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM253,471.30 meliputi 209.38 gram (g) heroin, 214.86g syabu, 26.19g ganja, 255.54g ketamin, 283.61g pil erimin 5, 39.49g pil ekstasi, 15,500g daun ketum dan 53.60 liter cecair ketum.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak turut menyita lima motosikal dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan rampasan RM30,876,” katanya.

Noor Hisam berkata tumpuan operasi itu adalah di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti sebagai sarang penagih dadah termasuk di skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), ladang swasta, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), flat kos rendah, jeti nelayan dan lain-lain.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan