Syarikat, Dua Pengarah Didakwa Guna Logo SIRIM Palsu Pada Tayar Celup

15/08/2025 02:35 PM

SEPANG, 15 Ogos (Bernama) -- Sebuah syarikat dan dua pengarah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan pelekat logo Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz, Februari lepas.

Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn Bhd, yang diwakili Pengarah Yip Wei Leong dan Yip Wing Kee, selaku Orang Kena Saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan, Wei Leong, 43, dan Wing Kee, 70, didapati dalam perjalanan perdagangan membuat representasi palsu dengan menggunakan pelekat logo SIRIM MS 224:2005 pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan SIRIM selaku pihak berwibawa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di No 11, 13 dan 15, Jalan Meranti 11, Meranti Jaya Industrial Park Puchong, di sini pada 11.30 pagi, 13 Feb.

Pertuduhan terhadap dua beranak itu dibuat mengikut Seksyen 21(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, syarikat terbabit didakwa mengikut Seksyen 21(a) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum RM1 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Hafizi Abdul Halim dan pegawai pendakwa KPDN Nur Abyan Anuar, manakala kedua-dua OKS diwakili Aaron Chang.

Terdahulu, Mohd Hafizi memohon kedua-dua lelaki itu diikat jamin sebanyak RM20,000 seorang, bagaimanapun Chang memohon supaya jaminan dikurangkan atas faktor usia tertuduh dan kerjasama baik yang diberikan mereka.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 25 Sept untuk tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan