KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan supaya diwujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi tatacara pemakaian dan penyimpanan rakaman kamera badan oleh pegawai serta anggota Jabatan Imigresen yang menjalankan operasi penguatkuasaan.
Menurut EAIC, syor yang dikemukakan kepada Ketua Pengarah Imigresen itu bertujuan memastikan ketelusan dalam pelaksanaan tugas serta mengelakkan sebarang tohmahan daripada orang awam pada masa hadapan.
“Pelaksanaan SOP ini penting bagi menjamin integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap agensi,” menurut kenyataan itu hari ini.
EAIC memaklumkan pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan kekasaran oleh pegawai Imigresen Kuala Lumpur terhadap seorang individu semasa operasi penguatkuasaan pada 25 Jun tahun lepas.
Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut peruntukan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
Hasil siasatan mendapati rakaman kamera badan tidak dapat diperoleh kerana data hanya disimpan selama 30 hari, manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut gagal diperoleh kerana peralatan tersebut telah dicabut sejurus selepas serbuan.
EAIC memaklumkan semua pegawai dan anggota Imigresen Kuala Lumpur yang terlibat dalam operasi terbabit telah memberi keterangan serta menafikan dakwaan kekasaran atau tindakan memukul individu berkenaan.
"Berdasarkan keterangan, individu yang membuat aduan tidak dapat mengecam atau mengenal pasti mana-mana pegawai atau anggota yang didakwa mengasarinya.
"Kertas siasatan polis yang dibuka berkaitan insiden ini diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial