Polis Tahan Lima Individu Terlibat Kegiatan Along, Rampas Hampir 3,000 Keping Kad ATM

18/08/2025 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki dipercayai berperanan sebagai ‘collector’ dan ‘runner’ sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen (along), serta merampas 2,924 kad ATM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata hasil pemantauan di sekitar Subang Jaya pada 8 Ogos lepas, polis menahan tiga lelaki tempatan yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank.

“Pemeriksaan lanjut di premis yang turut dijadikan tempat tinggal suspek di Subang Jaya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang disyaki terbabit dengan kegiatan sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka bekerja sebagai ‘collector’ dan ‘runner’ bagi mengeluarkan wang daripada kad ATM untuk sindiket along,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rusdi berkata pemeriksaan di premis berkenaan turut menemukan kad ATM tersebut, wang tunai RM119,997, 14 telefon bimbit dan pelbagai dokumen perjanjian pinjaman dan butiran individu.

Beliau berkata kesemua suspek menerima upah antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan dan dipercayai bekerja dengan sindiket itu antara enam bulan hingga dua tahun.

"Mereka menerima arahan daripada penyelia melalui aplikasi Telegram, jumlah pengeluaran antara RM5,000 hingga RM8,000 sehari dan wang itu kemudian dibungkus dan dihantar ke alamat tertentu melalui syarikat perkhidmatan penghantaran ke lokasi ditetapkan," katanya.

Menurut Rusdi, siasatan lanjut mendapati kad ATM yang dirampas turut dikaitkan dengan 18 akaun bank terlibat dalam penipuan pelaburan tidak wujud.

Katanya, lima lelaki berusia antara 26 hingga 36 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada 12 Ogos lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

"Polis kini sedang mengesan pemilik kad ATM dan dalang sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen ini", katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan