SEREMBAN, 18 Ogos (Bernama) -- Seorang penyelia tapak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2 juta, pada Oktober 2023.
Law Tuan Hai, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Dia didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang RM2 juta daripada akaun semasa milik sebuah firma guaman yang dia telah memperdaya seorang lelaki berusia 54 tahun untuk memindahkan wang berkenaan ke akaun semasa miliknya.
Pemindahan wang dilakukan setelah tertuduh menipu lelaki itu dengan mempercayai bahawa dia ingin menjual satu lot hartanah di Mukim Tebong, Tampin sedangkan dia bukan pemilik sah bagi hartanah itu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Bahau antara 27 Okt hingga 31 Okt 2023, mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi.
Hakim Mohamad Kamil memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Melaka untuk dibicarakan bersama satu lagi kes yang dihadapi Law, iaitu pertuduhan menipu membabitkan jumlah yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Low Huey Theng mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 Sept ini di Mahkamah Sesyen Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial