Dua Lelaki Maut Dirempuh Ketika Isi Minyak Van Di Tepi Jalan

18/08/2025 10:30 PM

IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Dua lelaki maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika mereka mengisi minyak van dinaiki di bahu jalan di KM84.6 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah van jenis Nissan Vanette serta sebuah kereta Proton Wira dan Proton Preve itu pada 9.15 malam.

“Hasil siasatan mendapati van dipandu lelaki berusia 45 tahun dan dinaiki dua lelaki berumur 18 dan 30 tahun itu telah berhenti di bahu jalan dari arah Kuala Kangsar ke Gerik kerana kehabisan minyak. 

“Semasa pemandu dan penumpang berusia 18 tahun terbabit berada di tepi jalan sebelah kanan van untuk mengisi minyak, datang Proton Wira dipandu lelaki berusia 19 tahun bersama dua penumpang berusia 19 tahun dari arah yang sama telah mengelak ke kiri dan hampir melanggar sebuah kereta Preve,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan pemandu Proton Wira itu menyebabkan pemandu Proton Preve iaitu lelaki berusia 60 tahun dan membawa seorang penumpang berusia 36 tahun telah melanggar pemandu dan penumpang van yang sedang mengisi minyak di tepi jalan.

“Pemandu dan penumpang van itu cedera parah. Penumpang van disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Gerik.

“Seorang lagi penumpang van serta dua pemandu dan semua penumpang kereta yang terlibat tidak mangalami sebarang kecederaan,” katanya dan menambah kemalangan itu disiasat lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan