Tukang Masak Didakwa Bunuh Seorang Lelaki Di Senawang

19/08/2025 01:21 PM

SEREMBAN,  19 Ogos (Bernama) -- Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Sri Pagi, Senawang.

Zulazren Zakariah, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia mencapai niat dengan menikam dada sehingga menyebabkan kematian Muhammad Amirul Rashid Mohd Niza, 28, kira-kira 6.50 petang di sebuah rumah di Taman Sri Pagi, Senawang, di sini pada 11 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati akan dikenakan tidak kurang 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi tidak menawarkan jaminan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Okt depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang lelaki Mohd Khairol Mohd Abu, 40, yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) K. Kogilawani, dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya kira-kira 1 petang di sebuah rumah di Lenggeng, 6 Jun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan