Siasatan Kes Buli Kanak-kanak Di Johor Hampir Selesai, Akan Dirujuk Kepada Timbalan Pendakwa Raya

19/08/2025 06:53 PM

JOHOR BAHRU, 19 Ogos -- Siasatan polis berhubung kes buli seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor CP Ab Rahaman Arsad berkata ia bagi mendapatkan pandangan serta nasihat berhubung tindakan lanjut, selepas polis mengambil keterangan daripada tujuh individu berhubung kes berkenaan setakat ini.

“Kita akan rujuk terlebih dahulu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan pandangan dan nasihat, mungkin akan ada arahan tambahan bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak berkenaan dikatakan dibuli di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai, pada Februari dan Ogos lepas sehingga mengalami kecederaan serius, termasuk gegaran otak dan masalah ingatan.

Ibu kanak-kanak itu telah membuat dua laporan, masing-masing di Balai Polis Skudai pada 23 Mac lepas dan Balai Polis Larkin empat hari lepas, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Ab Rahaman meluangkan masa melawat kanak-kanak berkenaan di Hospital KPJ Pakar Puteri di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan