Guru Wanita Rugi Lebih RM160,000 Diperdaya 'Phone Scam'

20/08/2025 01:58 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang guru wanita mengalami kerugian sebanyak RM160,500 selepas ditipu sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 27 Okt lepas, wanita berumur 34 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat insurans.

Beliau berkata suspek mendakwa bapa wanita itu telah membuat tuntutan insurans palsu sebanyak RM68,800 sebelum panggilan disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang.

"Suspek mendakwa kononnya ibu wanita itu pula terlibat dengan penggubahan wang haram yang melibatkan 31 akaun berbeza. Dia diminta membuat sejumlah pembayaran bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

"Mangsa yang panik telah membuat 33 kali pindahan wang ke 26 akaun berbeza dari tempoh 7 Feb hingga 17 Ogos lepas seperti diarahkan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata wanita itu hanya menyedari ditipu setelah cuba meminjam wang dari rakan sekerja untuk membuat bayaran tambahan bagi urusan siasatan.

Beliau berkata guru wanita itu membuat laporan polis pada 11.04 malam 18 Ogos lepas setelah kehilangan semua wang simpanan dan pinjaman peribadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis menasihatkan orang ramai supaya menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) atau membuat semakan dengan portal SemakMule sebelum membuat sebarang pindahan wang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan