SPRM Tahan Ketua Penolong Pengarah Disyaki Minta Suapan, Tajaan Ke Luar Negara

20/08/2025 05:41 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua penolong pengarah jabatan kerajaan kerana disyaki meminta suapan dan menerima tajaan bagi membiayai perjalanan ke luar negara daripada beberapa syarikat serta individu.

Menurut sumber SPRM, lelaki berkenaan ditahan kira-kira 6.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai meminta dan menerima tajaan daripada beberapa syarikat dan individu untuk membiayai perjalanannya ke beberapa destinasi di luar negara pada Mac 2023 hingga Januari 2025, berhubung Projek Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) yang dianggarkan bernilai RM125 juta.

"Tajaan perjalanan yang diterima suspek pula melibatkan nilai lebih RM50,000," katanya.

Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan reman bermula hari ini hingga 23 Ogos, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi, selepas permohonan dibuat SPRM.

Pengarah SPRM Putrajaya Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam kes berasingan, SPRM telah menahan reman seorang ejen insurans wanita disyaki bersubahat dalam pelaburan palsu bernilai kira-kira RM21 juta dan dia kini direman selama lima hari bermula hari ini.

Menurut sumber, suspek berusia 40-an itu ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek dipercayai melakukan kesalahan berkenaan pada 2023 hingga tahun ini. Siasatan awal mendapati sebanyak 22 pelabur diperdaya untuk melabur sebanyak RM21 juta di sebuah koperasi di Lembah Klang, namun wang pelaburan itu tidak diterima oleh koperasi berkenaan dan pelabur hanya diberi sijil pelaburan palsu,” menurut sumber berkenaan.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan  tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan