Insiden Penahanan Anggota ATM Tidak Gambarkan Keseluruhan Pasukan – Mohamed Khaled

21/08/2025 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan insiden penahanan beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mencerminkan keseluruhan institusi pertahanan negara.

Beliau berkata ATM kekal sebagai pasukan yang disegani rakyat dan diyakini dalam memelihara kedaulatan negara meskipun berdepan kes terpencil melibatkan salah laku anggota.

“Insiden melibatkan penahanan anggota ATM yang menjejaskan maruah dan integriti harus dielak. Jika benar didapati bersalah boleh menjejaskan imej dan diharap tiada sesiapa salah gunakan pangkat atau kedudukan diamanahkan untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

“Saya menegaskan kes ini tidak menggambarkan ATM (secara keseluruhan), ATM masih hebat dan disegani serta diyakini rakyat untuk memelihara kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2025 peringkat Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan ATM antara 10 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyeludupan di selatan tanah air.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan semangat kenegaraan mesti dijiwai oleh setiap warganegara terutamanya anggota ATM dan warga pertahanan kerana angkatan itu bukan sekadar lambang pertahanan fizikal tetapi simbol kedaulatan, integriti serta kemerdekaan negara.

"Apabila disebut kemerdekaan, kita terus nampak gambaran barisan perwira yang mempertahankan negara. Dalam setiap perbarisan di Dataran Merdeka dan Hari Pahlawan, ia adalah manifestasi imej ATM dan kita harus kekalkan imej bermaruah ini," katanya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat menghidupkan kembali semangat patriotik dan menolak sebarang anasir yang boleh menggugat perpaduan rakyat.

“Tema tahun ini, ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’, bukan sekadar slogan kosong tetapi seruan agar setiap kita berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan amanah kepada negara.

“Pengibaran Jalur Gemilang juga bukannya satu simbol semata tetapi menggambarkan semangat patriotik, kebebasan, dan kesejahteraan negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata pengorbanan perwira negara harus sentiasa dikenang manakala imej dan integriti ATM mesti dipelihara supaya terus menjadi benteng utama mempertahankan kedaulatan tanah air.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan