GEORGE TOWN, 22 Ogos (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan tiga premis makanan di bandar raya itu ditutup kerana tahap kebersihan premis yang kurang memuaskan dan penemuan najis tikus, menerusi operasi bersepadu yang dijalankan malam tadi.
Menurut kenyataan MBPP hari ini, kesemua tiga premis itu dikenakan tindakan penutupan premis serta-merta selama 14 hari berkuat kuasa semalam hingga 3 Sept ini.
Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Pelesenan MBPP bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengesan pematuhan pelesenan yang ditetapkan oleh MBPP seperti lesen perniagaan sah laku tempoh, kebersihan premis, pematuhan pengendali makanan dan sebagainya.
"Tindakan itu mengikut Undang-undang Kecil 38 (1) Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991 berikutan tahap kebersihan premis yang kurang memuaskan, iaitu berada di bawah standard yang ditetapkan dan penemuan najis tikus di kawasan stor, penyimpanan makanan beku dan dapur.
"Sebanyak 14 kompaun dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil 12 (1), Undang-undang Kecil Pengendali Makanan MPPP 1983 kerana tidak mendapatkan atau gagal mengemukakan kad pelalian atau suntikan antitifoid ketika pemeriksaan dijalankan," menurut kenyataan itu.
KPDN Pulau Pinang juga telah mengeluarkan kompaun terhadap sebuah premis makanan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal memaparkan harga caj bagi perkhidmatan dalam ringgit atau sen.
Sebuah lagi premis makanan dikenakan kompaun di bawah Akta Timbang Sukat 1972 Seksyen 14(6) atas kesalahan menggunakan atau memiliki timbang yang tidak disahkan bagi tujuan perdagangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial