SIBU, 22 Ogos (Bernama) -- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu menahan 16 individu selepas menyerbu lima sarang penagihan dadah di sekitar bandar ini semalam.
AADK Daerah Sibu dalam hantaran di Facebook hari ini memaklumkan kesemua individu berkenaan yang berusia 24 hingga 49 tahun itu ditahan menerusi Op Perdana yang berlangsung selama lapan jam bermula 6 petang melibatkan sembilan pegawai agensi berkenaan.
“Daripada 16 individu yang ditahan, 14 disahkan positif dadah selepas kesemua mereka menjalani ujian saringan air kencing.
“Jenis dadah yang dikesan paling banyak ialah methamphetamine (syabu) dengan 10 individu dan bakinya Tetrahydrocannabinol (THC),” menurut hantaran itu.
AADK Daerah Sibu memaklumkan operasi seperti itu sangat penting untuk membersihkan sarang penagihan dadah serta menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat kepada masyarakat.
“Kita akan terus mempergiatkan operasi pengesanan dan penahanan serta usaha pencegahan untuk memastikan matlamat “Dadah Terkawal 2025” tercapai demi kesejahteraan negara dan masa depan generasi muda,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial