KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di media sosial.
TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang memantau rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial sama ada video atau pautan yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar yang boleh mencemarkan imej TH.
“TH akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu dan pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran berunsur hasutan mengikut lunas undang-undang.
“TH juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang dikongsikan yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya. Ikuti saluran media sosial rasmi TH untuk dapatkan sumber maklumat yang tepat dan sahih,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad dalam kenyataan sama berkata hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu kepada organisasi itu, terutama berkaitan inisiatif penjenamaan serta tadbir urus TH yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.
Beliau berkata TH ditubuhkan dengan niat utama untuk umat Islam di negara ini menabung dan menyempurnakan simpanan bagi tujuan haji.
“Namun kebelakangan ini, ia lebih dikenali bagi perkhidmatan haji dan pada masa sama, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang. Kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji.
“Bagi menangani masalah ini, TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan dengan umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten,” katanya.
Mustakim berkata pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan pasukan pengurusan yang 100 peratus bumiputera Muslim, tetapi pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks dan ini dibekalkan konsortium yang dibentuk TH.
“TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik.
“Pelaksanaan pelan penjenamaan ini adalah usaha untuk memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan Islam yang dihormati agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan mereka dan menunaikan ibadat haji,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial