KUANTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala empat lagi cedera selepas sebuah kereta dan pacuan empat roda bertembung di Kilometer 142 Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Bukit Serok, Bandar Tun Abdul Razak, petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada 4.46 petang.
Kereta yang dinaiki seorang lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari arah Bahau, Negeri Sembilan ke Muadzam Shah, Rompin.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit telah bertembung dengan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, seorang wanita ditemukan tersepit di dalam kereta berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala enam mangsa termasuk pemandu pacuan empat roda yang cedera dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut.
Jurucakap itu berkata dua mangsa membabitkan seorang wanita berusia 18 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan kejadian itu, namun identiti semua mangsa masih belum diperoleh.
“Polis telah berada di lokasi kejadian dan sedang menyiasat punca kemalangan. Hubungan bagi semua mangsa juga masih belum dapat disahkan,” katanya.
Mayat kini ditempatkan di Hospital Muadzam Shah dan akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial