215 Gro Warga Asing Ditahan Dalam Op Noda

25/08/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Seramai 215 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Op Noda di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata serbuan itu turut membabitkan pemeriksaan terhadap 87 premis hiburan dengan 66 daripadanya dikesan beroperasi tanpa lesen sah.

“Polis turut menahan pemilik premis, pekerja dan pelanggan selain GRO warga asing terdiri daripada 77 warga Thailand, Vietnam (65), Indonesia (35), Myanmar (28), China (5), Kemboja (4) dan dua Laos.

“Kesemua yang ditahan berusia 22 hingga 38 tahun dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 iaitu Seksyen 15(1)(C), Seksyen (6)(1)(C) dan Seksyen 55B; Seksyen 76 Akta Eksais 1976; Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Enakmen/Ordinan Hiburan Negeri.

“Operasi seperti ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan pusat hiburan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan