IPOH, 27 Ogos (Bernama) -- Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun pada September tahun lepas.
Pertuduhan melibatkan kejadian di sebuah rumah di Gerbang Meru Indah pada 13 dan 14 Sept 2024, serta di bilik warden sebuah sekolah menengah pada 27 Sept 2024.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun mencadangkan jaminan RM40,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan manakala peguam Baldip Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan atas alasan tertuduh perlu menanggung keluarga dan merupakan kesalahan pertama.
Hakim Jean Sharmila Jesudason membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap awal bulan dan tidak dibenarkan mendekati mangsa dan saksi kes.
Mahkamah menetapkan 24 Okt ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial