GEORGE TOWN, 27 Ogos (Bernama) -- Seorang guru wanita cedera di leher akibat dikelar suaminya sebelum lelaki itu mengelar dirinya menyebabkan cedera parah dalam kejadian di Taman Tunas, Sungai Ara dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata kejadian kira-kira 6 pagi itu disedari ibu kepada wanita tersebut selepas terdengar jeritan anaknya yang berada di bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat berkenaan.
"Kejadian berlaku sebelum solat Subuh pagi tadi dan ia disedari ibu mangsa yang terdengar jeritan anaknya dari bilik sebelum bergegas ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati menantunya sedang menindih mangsa (isteri suspek).
"Wanita itu mendakwa melihat suspek cuba mengelar mangsa dan dia terus bertindak menarik anaknya sebelum membawa lari keluar, dalam masa sama wanita tersebut melihat menantunya mengelar tangan serta lehernya sendiri di atas katil," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa yang berusia 28 tahun cedera dileher dan dalam keadaan stabil manakala suaminya yang juga seorang guru berumur 30 tahun kritikal akibat kecederaan parah di leher dan pergelangan tangan kiri, dengan kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, di sini.
Sazalee berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata pasangan yang telah berkahwin sejak enam tahun lepas dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun itu, dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah kewangan, kemurungan atau isu berkaitan orang ketiga malah mereka juga hidup dalam keadaan bahagia.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan pisau yang diambil di dapur rumah itu sebelum bertindak mengelar isteri dan dirinya sendiri, kita percaya kejadian berlaku ketika mangsa baru bangun tidur dan mahu solat sebelum bersiap ke sekolah.
"Kami masih menjalankan siasatan lanjut kerana lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau masalah kesihatan mental dan kemurungan," katanya.
Beliau berkata polis akan merekodkan keterangan pasangan itu dan suspek akan direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial