SIBU, 27 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok putih, minuman keras dan barangan sejuk beku bernilai RM2.27 juta termasuk cukai, dalam tiga serbuan berasingan di sini akhir bulan lepas.
Pengarah Kastam Sarawak Datuk Norizan Yahya berkata ketiga-tiga serbuan itu dilakukan oleh pasukan penguat kuasa Unit Operasi Darat Sibu, JKDM Sarawak susulan maklumat daripada Cawangan Risikan JKDM.
Beliau berkata serbuan pertama kira-kira 9.30 pagi, 30 Julai menemukan 1.2 juta batang rokok putih dan 3,294.72 liter minuman keras yang disimpan dalam sebuah bangunan komersial terbiar di Lorong Tunku Abdul Rahman 29A, dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM979,206.62.
“Dalam serbuan kedua pada hari yang sama kira-kira 9.40 pagi, pasukan telah merampas 800,000 batang rokok putih pelbagai jenama dan 4,625.28 liter minuman keras di sebuah rumah tidak berpenghuni di Lorong Kong Yit Khim 8A melibatkan nilai keseluruhan termasuk duti berjumlah RM703,232.38.
“Serbuan ketiga pula dilakukan pada 31 Julai kira-kira 8.30 pagi di sebuah gudang di Jalan Then Kung Suk. Pasukan telah menyita 64,524 kilogram barangan sejuk beku yang disimpan dalam tiga kontena, bersama 792 liter minuman keras dengan nilai rampasan RM584,871.69 termasuk duti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Norizan berkata kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Modus operandi mereka adalah menyimpan barang larangan di premis yang terbiar atau kosong sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata orang ramai diseru agar membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial