BACHOK, 30 Ogos (Bernama) -- Kes tular membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Sabah menjadi titik tolak kesedaran di Kelantan apabila semakin ramai pelajar dan ibu bapa tampil membuat laporan polis berhubung insiden buli.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata dalam tempoh dua minggu lalu, pihaknya menerima lima laporan berkaitan kes buli di sekolah.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan tahap kesedaran semakin meningkat dalam kalangan pelajar dan ibu bapa berhubung tindakan wajar apabila berdepan isu berkenaan.
“Sebelum ini, orang ramai kurang faham, contohnya dalam kes buli siber, mereka tidak tahu tindakan apa yang perlu dilakukan. Namun, selepas kes Zara Qairina menjadi tular, semakin ramai berani tampil membuat laporan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Kejohanan Kuda Lasak Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Kubang Golok, di sini, hari ini.
Mengulas kes buli enam pelajar Tingkatan Empat terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga di Pasir Mas baru-baru ini, Mohd Yusoff berkata siasatan sudah selesai sepenuhnya dan kertas siasatan diserahkan kepada pendakwa raya.
Katanya semua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau turut menjelaskan setiap sekolah di Kelantan kini mempunyai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang membantu pihak sekolah serta pelajar dalam isu keselamatan dan jenayah.
“Malah, selepas pengisytiharan ‘Jihad Dadah’ dan peningkatan kes rogol bawah umur, semakin banyak sekolah memohon penempatan PPS.
“Di peringkat komuniti pula, kita menempatkan Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) di masjid mukim bagi memperluas jalinan kerjasama dengan masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial