KUANTAN, 1 Sept (Bernama) -- Dua pekerja ladang warga Bangladesh maut selepas kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Ladang Argopolitan Gahai, Kampung Tanjung Gahai, Kuala Lipis, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata Md. Shamim Reza, 24, dan Tuhin Ali, 26, yang berada di bahagian belakang kenderaan telah dihempap pacuan empat roda tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati pacuan empat roda dipandu lelaki tempatan bersama enam warga Bangladesh terbabas dan terbalik ketika melalui jalan berselekoh menurun bukit dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi di Kampung Tanjung Gahai.
“Pemandu kenderaan dan penumpang lain tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kes masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
“Polis menasihati orang ramai agar sentiasa memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial